zaid ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak melantik pasukan pembelaan baharu yang diketuai oleh bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim untuk mewakili pasukan pembelaan dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan kes SRC International.

Dalam surat kepada Mahkamah Persekutuan, bekas peguamnya dari firma Shafee & Co memaklumkan mahkamah bahawa Najib telah melepaskan mereka, lapor FMT.

“Perayu ingin memaklumkan bahawa beliau telah melantik Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguamcara,” kata Shafee & Co.

Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar rayuan akhir Najib bagi tempoh 10 hari bermula 15 sehingga 26 Ogos depan.

Peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah sebelum ini mengetuai pasukan peguam yang membela Najib dalam kes SRC International.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 untuk mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram lebih RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke akaun banknya.

Ia juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.- MalaysiaGazette