KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md.Yunos akan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan mengenai keputusan kes fitnah ke atas Teresa Kok berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Beliau berkata, langkah itu diambil selepas Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor itu mendapat nasihat daripada peguam baharunya susulan perjalanan perbicaraan kes itu tidak mematuhi prosedur sebenar
“Mahkamah telah menolak permohonan saya untuk membuat semakan dokumen utama perbicaraan kes ini iaitu surat Perbendaharaan Negeri Selangor dikatakan berklasifikasi ‘terhad’ di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
“Sebelum perbicaraan, pihak plaintif telah menyerahkan Surat Bantahan pada saat akhir bagi membantah dokumen yang telah difailkan peguam saya sejak lebih 18 bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berhubung kenyataan berbaur fitnah berkaitan dana Yawas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membenarkan tuntutan saman fitnah Teresa terhadap Jamal yang difailkan lima tahun lalu setelah berpuas hati defendan gagal membuktikan pembelaannya.
Mahkamah turut memerintahkan Jamal yang tidak hadir ke mahkamah, membayar ganti rugi dalam tempoh 14 hari.
Jamal juga diarahkan membayar kos RM50,000 serta mengeluarkan perintah injunksi melarang defendan atau ejennya daripada mengulangi dakwaan itu.
Tambah Jamal, sebelum ini beliau sudah memohon untuk menangguhkan perbicaraan kes itu kerana memerlukan masa bagi melantik peguam baharu yang lebih berpengalaman mengendalikan kes seumpamanya.
“Mahkamah menafikan hak saya untuk melantik peguam baharu. Sebab itu saya tidak mengemukakan Soal Balas atau Pemeriksaan Balas malah tidak memanggil saksi-saksi pada sesi perbicaraan.
Katanya lagi, beliau telah melantik peguam baharu untuk memfailkan rayuan keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan.
“Semakan terhadap dokumen perlu dilaksanakan bagi mengesahkan sama ada ia berstatus ‘terhad’ OSA 1972 atau hanya manipulasi pihak plaintif.
“Peguam baharu saya kini berada di London dan akan memfailkan notis rayuan dalam masa terdekat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette