Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik dibentangkan di Parlimen sekiranya menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak mahu ada lagi pihak yang menjadi ‘kambing hitam’ atau mangsa berhubung pembiayaan politik seperti yang dialami beliau selepas tewas PRU-14.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, RUU tersebut pernah dicadangkan semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Namun BN tidak sempat untuk membentangkan RUU berkenaan selepas tewas pada PRU-14.

“Sehingga hampir berakhirnya sidang Dewan Rakyat RUU Pembiayaan Politik belum dibentangkan. Ketika pemerintahan  Najib  pernah dicadangkan RUU Pembiayaan Politik namun apabila BN kalah, ia tidak sempat dibentangkan.

“Akibatnya apabila era pemerintahan PH bukan sahaja rang undang-undang tersebut tak dibentangkan, maka pendakwaan terpilih berlaku dan berunsur politik,” kata Ahmad Zahid.

Presiden UMNO itu mendakwa beliau antara yang menjadi mangsa ‘pendakwaan terpilih’ oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas enggan membubarkan UMNO.

Sedangkan menurutnya, terdapat ahli politik lain yang juga mendapat pembiayaan politik tidak dikenakan sebarang pendakwaan.

“Yang menjadi mangsa ialah mereka dianggap musuh politik. Apabila saya enggan membubarkan UMNO, saya dan teman-teman pimpinan parti dijadikan kambing hitam dalam isu kes wang pembiayaan politik dan derma.

“Peliknya yang bersekutu dengan mereka tiada pula apa-apa pendakwaan hingga kini.

“Maka apabila BN menang PRU-15 dan menguasai Parlimen akan dipastikan rang undang-undang tersebut akan dibentangkan di Parlimen. Tiada lagi pihak yang akan teraniaya dan ‘kambing hitam’ dalam isu pembiayaan politik dan derma politik,” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Ia bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Dalam perbicaraan semalam, saksi Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa syarikat itu turut menyerahkan sumbangan dana politik RM2.6 juta kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

Beliau turut mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menerima sumbangan dana politik daripada UKSB menerusi rakan baiknya, Datuk Teo Wee Cheng yang juga Pengarah SHH Resources Sdn Bhd.- MalaysiaGazette