Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis sudah selesai merakam keterangan 12 saksi dalam kes kematian seorang banduan lelaki di Penjara Kluang pada 28 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang diambil keterangan merupakan tiga ahli keluarga mangsa, lima banduan serta empat petugas penjara.

“Setakat ini polis sudah panggil  12 saksi kes ini dan ini membolehkan kita menjuruskan sebarang unsur yang menjadi sebab kematian mangsa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada 28 Jun lalu, Kim Shih Keat dijadualkan dibebaskan dari penjara Kluang selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 22 Jun lalu.

Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Shih Keat mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi hari sama daripada pengurus rumah mayat  memaklumkan Shih Keat sudah meninggal dunia.

Susulan itu satu sidang media diadakan oleh ahli keluarga Shih Keat yang memohon agar laporan bedah siasat dan kimia berhubung kematian lelaki itu didedahkan dengan telus selewat-lewatnya Jumaat ini.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, siasatan sudah dijalankan ke atas mendiang dan jenazahnya diserahkan kepada pihak keluarga sehari selepas mangsa dilaporkan meninggal dunia.

“Keputusannya bagaimanapun kita masih menunggu  untuk keputusan atau menentukan punca kematian.

“Buat masa ini, kita tidak boleh nyatakan lagi punca kematian si mati kerana ada beberapa perkara di pihak makmal hospital yang tidak dapat keputusan lagi. Kita akan maklumkan apabila semua laporan dan keputusan ini diperoleh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast