Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Negara ini perlu satu undang-undang dan kerangka amalan yang khusus berkaitan pendanaan politik, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Jika tidak, dana politik selalunya dilihat sebagai tidak sah dan melibatkan pelbagai konflik kepentingan

Beliau yang Naib Presiden UMNO berkata, dengan adanya undang-undang khas ini, negara tidak perlu lagi bermain-main dengan persepsi dan perbahasan tentang apakah sesuatu dana itu sah atau tidak.

Lagipun, kewujudan undang-undang khusus dan jelas akan memberikan beberapa kelebihan.

“Pertama, akan ada kriteria dan definisi yang jelas tentang bentuk dan saluran dana politik yang sah. Perkara ini membolehkan kita menghalang dan menghukum sebarang pemberian/penerimaan dana yang tidak mematuhi peruntukan yang jelas tersebut.

”Sebelum ini banyak ahli politik disiasat kerana dana yang disifatkan sebagai dana politik yang datangnya dari sumber-sumber seperti syarikat korporat, kutipan orang awam malah sumbangan dari entiti luar negara. Adakah semua itu sah atau tidak, ia tidak pernah jelas kepada kita.

”Kedua, kewujudan undang-undang khas dan jelas berkaitan pendanaan politik membolehkan proses semakan, audit serta laporan segala dana berkaitan politik diwajibkan ke atas semua parti politik.

”Amalan tersebut bukan sahaja menyebabkan pengurusan dana politik menjadi lebih telus dan tersusun, malah dapat mengelakkan sebarang penyalahgunaan dana kepada tujuan yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Yang ketiga, undang-undang pendanaan politik menggambarkan yang negara ini tidak berpura-pura dan berpijak di bumi yang nyata bahawa banyak aktiviti serta pergerakan politik memerlukan dana yang konsisten, jelas dan sah.

Khaled berkata, pergerakan politik tidak boleh bergantung kepada sumber wang yang tidak jelas, diragukan serta mempunyai konflik kepentingan yang serius.

Oleh sebab itu, pergerakan politik mesti beralih kepada amalan politik yang lebih matang, terbuka dan realistik.

Lantaran itu, katanya kesemua ahli dan parti politik mesti bersedia untuk membincangkan perkara ini dengan jujur dan serius. – MalaysiaGazette