Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan  supaya Bank Negara Malaysia (BNM) mewujudkan tabung makanan (Fund For Food) sebagai langkah mengurangkan beban rakyat daripada tekanan inflasi.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  tabung berkenaan boleh disediakan menerusi pinjaman yang diwujudkan oleh bank-bank komersial kepada pengusaha makanan untuk mempertingkatkan sumber yang diperlukan negara.

“Diminta supaya institusi kewangan bank-bank komersial perdagangan Malaysia menyediakan sebahagian daripada pinjaman mereka untuk menggalakkan pengusaha-pengusaha, penanam, petani menerokai secara agresif untuk mengeluarkan bahan-bahan makanan yang diperlukan negara,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN pada hari ini.

Katanya, penyediaan sumber makanan yang cukup untuk rakyat boleh membantu golongan B40 khususnya, pada ketika ekonomi yang mencabar ini.

Terdahulu beliau berkata, mesyuarat MPN hari ini membincangkan empat perkara termasuk isu cacar monyet, pemulihan ekonomi negara dan isu kenaikan bahan binaan yang dihadapi oleh sektor pembinaan selain industri logistik pelabuhan yang dilihat bertambah pulih.

“Pihak KKR telah mengenal pasti empat isu yang dihadapi sektor pembinaan iaitu kos bahan binaan, kekurangan pekerja, penyediaan tempat tinggal pekerja serta aliran tunai syarikat yang lemah,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, MPN turut berpendirian agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan subsidi bersasar.

Jelasnya ini kerana, lebih 50 peratus subsidi kerajaan dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.

“Sebab itu kalau perkara itu diambil langkah segera dikaji semula supaya subsidi hanya digunakan khusus kategori memerlukan maka kesan daripada inflasi dapat kita kurangkan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette