Nazim bersama wakil CUEPACS dan MTUC yang hadir di pejabat LTAT hari ini.

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersetuju untuk memulakan perbincangan bersama wakil-wakil daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT).

Semasa piket berlangsung pada hari ini, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman telah turun ke perkarangan bangunan bersama dengan pengurusan kanan LTAT untuk bertemu dengan Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, Presiden MTUC, Mohd. Effendy Abdul Ghani, dan Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor.

Aktiviti piket yang sedang berjalan telah diberhentikan ekoran kehadiran Nazim
bagi memberi ruang kepada pengurusan LTAT untuk duduk bersama dengan pihak yang berkepentingan.

Pengurusan LTAT telah menyatakan kesediaannya untuk memberi penerangan yang sewajarnya dan menjalankan perbincangan bersama wakil-wakil daripada CUEPACS, MTUC dan KKLTAT esok bagi mencari hala tuju penyelesaian kepada perkara ini. – MalaysiaGazette

LTAT kesal KKLTAT berpiket, pelarasan gaji tidak boleh pukul rata