Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mendapati projek penanaman durian Musang King di Gunung Inas telah melanggar syarat penanaman ladang hutan.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, hanya 11 spesis tanaman boleh ditanam di Gunung Inas antaranya akasia, batai, getah klon, balak dan jati namun Musang King tidak tergolong dalam spesies tersebut.

“Musang King ini bukan spesies yang dikenal pasti untuk ditanam sebagai ladang hutan terdapat 11 spesies lain adalah tidak termasuk Musang King sebagai spesies ladang hutan tetapi ianya telah dilaksanakan di negeri Kedah pada 2017.

“Pada 2019, kerajaan pada masa itu telah meluluskan penanaman Musang King sebanyak 20 peratus daripada keluasan yang masih dibenarkan.

“JPSM telah melihat sebagai satu pelanggaran kepada syarat kerana Musang King bukan spesies ladang hutan telah ditaham sebanyak 5,000 pokok di keluasan 52 hektar di atas Gunung Inas,” katanya menjawab pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) hari ini.

Takiyuddin berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu apakah kaedah penyelesaian yang dirancang bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin khususnya penduduk di sekitar Gunung Inas Baling, Kedah berikutan insiden kepala air yang berlaku baru-baru ini.

Insiden pada petang 4 Julai lalu mengorbankan tiga individu yang didapati dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir yang melanda Kampung Iboi, Baling.

Justeru itu, JPSM telah mendapati projek tersebut didaapti melanggar syarat penanaman spesis penanaman ladang hutan malah telah mencadangkan kepada kerajaan negeri Kedah untuk menjadikan Gunung Inas sebagai hutan perlindungan bagi tujuan tadahan air.

“Pada 2020, JPSM melalui Menteri Besar yang ada sekarang ini telah mengarahkan perberhentian segera aktiviti penanaman segera pokok durian ini dan apabila telah dibenarkan pada 10 Disember 2019, sebanyak 20 peratus.

“JPSM mencadangkan agar kerajaan Kedah menjadikan Gunung Inas sebagai Hutan Perlindungan bagi tujuan tadahan air supaya ianya tidak boleh diusik dan ianya akan memberikan jaminan keselamatan kepada rakyat di kawasan Baling,” jawab Takiyuddin lagi.

Dalam pada itu, KeTSA mendapati kawasan sekitar Gunung Inas masih tidak stabil dan terdedah kepada ancaman tanah runtuh.

Berdasarkan kepada laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati jatuhan batuan berikutan kehadiran bongkah batuan yang longgar dan tergantung di lereng gunung.

“Di samping itu, perubahan arus deras secara mendadak bila berlaku hujan di kawasan hulu dan kehadiran taburan puing-puing batuan di dalam laluan sungai boleh mendatangkan berisiko serta membahayakan keselamatan awam di kawasan tersebut,” jelas Takiyuddin lagi. – MalaysiaGazette