Datuk Mohd Yusri Hassan Basri menyampaikan anugerah cemerlang kepada anggota sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang, hari ini

KUANTAN – Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dinasihatkan menjaga intergriti dan memelihara kerahsiaan supaya tidak membocorkan maklumat kepada pihak ketiga.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi kepada pelaku dan akan mengambil tindakan tegas kerana ia menjejaskan kredibiliti PDRM.

Jelasnya, meskipun ia kes terpencil namun ia berlaku dan pihak atasan telah mengenal pasti dan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang terlibat.

“Ini berikutan beberapa insiden melibatkan penjawat awam membocorkan dokumen terperingkat kerajaan kepada pihak luar khususnya melalui aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta media sosial seperti YouTube, Blog, Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram dan sebagainya.

“Pihak PDRM memandang serius terhadap perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap warga PDRM yang didapati membocorkan maklumat terperingkat, mendedah, menyebar dan menyampaikan laporan polis (PRS), fakta kes, video klip, gambar mangsa, gambar tempat kejadian, gambar barang kes.

“Ia termasuk pendedahan dan perkongsian apa jua maklumat penyiasatan kepada umum dan di mana ia boleh menjejaskan imej pasukan,  perkhidmatan awam dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang, hari ini dan menyampaikan 22 anugerah kepada kakitangan yang cemerlang di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, kebocoran maklumat jabatan melalui aplikasi telefon pintar dan alat-alat peranti elektronik juga boleh dikenakan tindakan sehingga dibuang kerja dan ia boleh di dakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Justeru beliau mengingatkan kepada anggota dan pegawai PDRM supaya tidak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang dan tatatertib diambil.

“Semua telah mengangkat sumpah menjaga kerahsiaan dan menjaga dokumen sulit dalam fail di samping menjaga kredibiliti, menjaga maruah mangsa termasuk dan menjaga integriti daripada berlaku kebocoran maklumat,” katanya. – MalaysiaGazette