BEIJING – Wuhan telah menutup daerah yang mempunyai hampir sejuta penduduk selepas mengesan empat kes Covid-19 tanpa gejala.

Pihak berkuasa di daerah Jiangxia di Wuhan, menempatkan lebih 970,000 orang penduduk mengumumkan kawasan bandar utamanya akan menguatkuasakan tiga hari “langkah kawalan sementara.”

Semua pengangkutan awam, dari bas hingga perkhidmatan kereta api bawah tanah, digantung dan penduduk digesa untuk tidak meninggalkan daerah itu melainkan benar-benar perlu.

Pihak berkuasa juga mengenal pasti empat kawasan kejiranan berisiko tinggi yang mana penduduk dilarang meninggalkan rumah mereka.

Empat lagi kawasan kejiranan disahkan berisiko sederhana, bermakna penduduk tidak boleh meninggalkan kompaun mereka.

Langkah-langkah itu untuk “mengurangkan lagi aliran orang, mengurangkan risiko jangkitan silang dan mencapai sifar Covid-19, kata kenyataan pihak berkuasa.

Sekatan menyeluruh itu dibuat sejurus selepas pihak berkuasa daerah Jiangxia mengumumkan penemuan empat jangkitan tanpa gejala lewat pada hari Selasa.

Dua dikesan semasa ujian biasa, manakala dua lagi ditemui dalam kalangan kenalan rapat mereka.

Wuhan, sebuah hab pengangkutan dan perindustrian di wilayah Hubei tengah China, mengenakan penutupan Covid-19 pertama di dunia pada awal 2020 untuk membendung penularan koronavirus.

Kawalan ketat itu telah menutup perniagaan dan mengurung penduduk di rumah mereka selama lebih daripada dua bulan.

Sebelum ini Kerajaan China telah mengisytiharkan Wuhan sebagai kisah kejayaan dalam memerangi wabak itu.

Pada Ogos 2020, ketika kebanyakan dunia bergelut dengan Covid-19, Wuhan menjadi tajuk utama antarabangsa apabila mengadakan festival muzik elektronik di taman air terbuka, dengan beribu-ribu orang berpesta tanpa sebarang pelitup muka atau langkah-langkah penjarakan sosial. – CTV News