SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam usaha untuk meningkatkan jumlah pembayar zakat dari semasa ke semasa sama ada melalui kaunter, Skim Potongan Gaji (SPG) mahupun secara dalam talian.
Ketua Jabatan Majikan LZS, Mohd Hatta Zainal Abidin berkata, walaupun saban tahun jumlah kutipan zakat menunjukkan peningkatan, namun jumlah pembayar zakat di Selangor masih rendah iaitu kira-kira 26 peratus sahaja ketika ini atau kira-kira 364,000 pengeluar zakat daripada 1.4 juta penduduk Selangor yang layak berzakat.
“Walaupun kutipan zakat tahun lalu mencecah lebih RM993 juta, jumlah itu hanya mewakili 26 peratus sahaja yang layak untuk melaksanakan kewajipan zakat.
“Bayangkan kalau kita berjaya tingkatkan kepada 50 peratus, 80 peratus atau 100 peratus, kita dapat jumlah lebih besar, sekali gus dapat membantu lebih ramai asnaf yang memerlukan,” katanya dalam program Bual Bicara LZS bersama Pengarah Urusan D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Sri Aliff Syukri di Wisma PKPS, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke Majlis Mesra Majikan 2022 & Pengiktirafan Muzakki bagi meraikan 100 syarikat yang membuat potongan zakat secara bulanan dan pengiktirafan syarikat pengeluar zakat yang konsisten menyantuni asnaf LZS.
Dalam pada itu, Mohd Hatta berkata, pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 peratus jumlah pembayar zakat boleh ditingkatkan bagi kutipan zakat pada tahun ini.
“Mungkin kita kena luaskan promosi dan kempen kesedaran supaya jumlah 30 peratus yang membayar zakat dengan LZS, boleh ditingkatkan menjadi kepada 40 peratus hingga 50 peratus.
“Apabila jumlah peratus dan bayaran zakat itu meningkat, kita boleh menyantuni lebih ramai asnaf yang memerlukan.
“Kita akan lebihkan program-program dakwah dan kempen kesedaran kepada masyarakat Islam termasuk Bulan Taksir Zakat untuk memberikan maklumat dan kesedaran berkaitan dengan zakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette