logo pdrm
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Seorang ibu berdepan ugutan bunuh oleh anak kandung sendiri selepas dia menghalang lelaki itu menggunakan motosikalnya dalam kejadian di Bandar Perdana di sini, hari ini.

Kejadian 2 petang itu berlaku selepas lelaki berusia 20 tahun itu meminta untuk menggunakan motosikal milik ibunya namun dihalang susulan dia baru pulang ke rumah selepas keluar tiga hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, berang dengan tindakan mangsa berusia 40 tahun itu, suspek mengamuk sebelum memegang sebilah pisau dan mengugut mahu membunuh ibu serta ahli keluarga lain.

“Bimbang dengan tindakan suspek, mangsa terus menghubungi polis sebelum anggota unit peronda polis dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Suspek yang bekerja di sebuah kilang itu ditahan sebaik pihak polis tiba di lokasi kejadian dan semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati dia positif methamphetamin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Zaidy, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette