Datuk Mohd Yusri Hassan Basri

KUANTAN – Dua kertas siasatan dibuka melibatkan dua agensi berhubung kes laporan berhubung insiden penggunaan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Taman Negara Pahang yang berlaku pada 16 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan dijalankan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Jelasnya, PDRM masih menyiasat kes berkenaan di bawah Sesyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menularkan laporan polis berkaitan isu berkenaan di media sosial.

“PDRM menyiasat yang pihak yang memviralkan isu berkenaan manakala siasatan yang melibatkan isu letupan dibuat di bawah Perhilitan.

“Polis masih menjalankan siasatan dan menyiasat semua pihak yang terlibat dalam aktiviti tular itu,” katanya ketika ditemui media sejurus Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang hari ini.

Tambah Mohd Yusri, pihaknya juga menafikan sebarang penglibatan pihak PDRM dalam insiden yang membabitkan orang kenamaan di negeri ini.

BACA: Polis terima laporan penggunaan bahan letupan untuk tangkap ikan

Polis Pahang mengesahkan menerima laporan 19 Julai lalu berkaitan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang menangkap ikan yang dipercayai menggunakan bahan peledak di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, Jerantut.

Difahamkan pengadu mendengar letupan yang kuat sebanyak dua kali secara berselang dengan anggaran jarak 20 meter.

Manakala 24 Julai lalu, seorang kontraktor berusia 44 tahun mengaku melempar mercun bola dalam sungai ketika mengikuti lawatan kerja rombongan ADUN Pulau Tawar di lokasi kejadian pada 15 dan 16 Julai lalu. – MalaysiaGazette