Ketua Jabatan Majikan LZS, Mohd Hatta Zainal Abidin (tengah) bergambar bersama 100 majikan dalam Majlis Mesra Majikan 2022 & Pengiktirafan Muzakki di Wisma PKPS, Shah Alam. Foto: LZS

SHAH ALAM – Sebanyak 15 majikan menerima Pengiktirafan Muzakki (Iktiraf) sebagai tanda penghargaan kerana komitmen mereka menunaikan zakat pendapatan melalui Skim Potongan Gaji (SPG) di Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Jabatan Majikan LZS, Mohd Hatta Zainal Abidin berkata, sejak program itu diperkenalkan pada akhir tahun lepas, lebih RM10 juta bayaran zakat pendapatan disumbangkan daripada 15 majikan terbabit.

“Sejak program Iktiraf diperkenalkan tahun lalu, sebanyak 4,793 majikan terlibat dan memberi komitmen untuk membuat bayaran zakat melalui SPG setiap bulan.

“Kebanyakan majikan ini telah membuat potongan zakat kakitangan masing-masing sejak 10 tahun lalu, malah ada yang sudah lama dengan LZS seperti Perodua itu sendiri.

“Setiap plak penghargaan itu berbeza-beza dengan tiga kategori iaitu emas, perak dan gangsa, mengikut jumlah bayaran zakat yang dibuat sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Wisma PKPS, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Mesra Majikan 2022 & Pengiktirafan Muzakki bagi meraikan 100 syarikat yang membuat potongan zakat secara bulanan dan
pengiktirafan syarikat pengeluar zakat yang konsisten menyantuni asnaf LZS.

Beliau kemudian bersama Pengarah Urusan D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Aliff Syukri menjadi panel dalam program Bual Bicara LZS.

Sejak program itu diperkenalkan pada penghujung 2021, lebih 200 syarikat telah menerima penghargaan Iktiraf ini, membabitkan seramai 192,524 pembayar zakat pendapatan melalui kaedah SPG.

“Sebanyak RM335.2 juta bayaran zakat pendapatan dalam kalangan warga kerja berjaya dikutip LZS setakat ini,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 250 majikan mewakili pelbagai syarikat swasta, badan berkanun dan sektor kerajaan yang diraikan dalam Majlis Mesra Majikan 2022 hari ini bakal menjadi pembayar zakat baharu melalui SPG.

“Majlis yang diadakan bersempena Bulan Taksir Zakat ini bertujuan meraikan para majikan yang menyertai SPG bagi zakat pendapatan kakitangan di Selangor.

“Ia juga sebagai platform komunikasi antara LZS dengan pihak majikan khususnya untuk menambahbaik pengurusan potongan zakat bulanan, di samping menyebarkan maklumat terkini berkaitan pengurusan zakat di Selangor.

“SPG adalah suatu kaedah paling berkesan dalam menggalakkan pembayaran zakat dalam kalangan umat Islam di Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette