Najib PN
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap Malaysia boleh menghulurkan bantuan kepada Laos yang kini berhadapan dengan cabaran kekurangan rizab asing dan sedang menghadapi kemungkinan bankrap.

Menurut Najib, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk membantu ahli ASEAN yang sedang menghadapi kesusahan.

Katanya, kekurangan rizab asing menyebabkan negara itu berhadapan dengan masalah bekalan bahan api untuk membeli petrol.

Najib berkata, situasi menang-menang antara Malaysia dan Laos boleh dicapai dengan Malaysia mengimport tenaga elektrik hidro daripada Laos.

Negara itu adalah antara penjana elektrik hidro terbesar dalam ASEAN dan kini sedang mengeluarkan tenaga elektrik hidro boleh dibaharui yang jauh melebihi keperluan mereka.

Sementara Malaysia pula ketika ini sedang berhadapan peningkatan kos dalam penghasilan tenaga elektrik berikutan kenaikan harga batu arang.

“Malaysia adalah antara pengeksport terbesar gas asli. Bagaimanapun, Malaysia banyak mengimport batu arang untuk keperluan menjana elektrik tempatan.

“Pada ketika ini, harga dunia gas asli dan batu arang sedang capai rekod tertinggi akibat perang Rusia-Ukraine serta pembukaan semula ekonomi dunia selepas pandemik.

“Malaysia mempunyai sasaran bagi meningkatkan kapasiti campuran tenaga boleh baharu (TBB) dalam bekalan elektrik negara dan memenuhi komitmen perubahan iklim,” kata Najib

Menurutnya, pada waktu ini Singapura telah mengimport tenaga elektrik daripada Laos yang disalurkan melalui grid elektrik negara Thailand dan Malaysia ke negara tersebut.

Pembelian 100 megawatt (MW) tenaga elektrik tersebut merupakan 1.5 peratus daripada keperluan tenaga elektrik Singapura.

Tambah Najib, antara penjana elektrik hidro di Laos dengan kapasiti 260MW ialah sebuah syarikat tersenarai Malaysia iaitu syarikat Mega First Corp Bhd.

“Jadi, apa yang menghalang Malaysia untuk turut mengimport tenaga elektrik hidro daripada Laos seperti Singapura untuk menggantikan sebahagian penjanaan elektrik tempatan yang menggunakan batu arang serta gas dan bagi Malaysia membayarnya melalui eksport minyak dan gas kepada Laos?

“Dengan langkah ini kita dapat membantu negara ASEAN yang dalam kesusahan, menurunkan kos penjanaan elektrik tempatan, mengurangkan import batu arang, memajukan usaha kami untuk mencapai sasaran tenaga boleh dibaharui negara, mengurangkan pencemaran udara tempatan dan menerokai pasaran baharu bagi industrik minyak dan gas negara,” katanya.

Media melaporkan Loas kini berdepan dengan krisis bahan api yang teruk dan kekurangan bahan api yang berterusan telah menyebabkan penutupan banyak stesen minyak.-MalaysiaGazette