Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyindir kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pas untuk mentadbir secara bersendirian di Kedah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu berkata, ketika ini BN mentadbir Melaka dan Johor secara bersendirian selepas menang  pilihan raya negeri.

Muhammad Sanusi menyindir BN kerana bila sudah menjadi Kerajaan Persekutuan dan kuat telah membuat helah sehingga Dewan Undangan Negeri di Melaka dan Johor terbubar.

Tindakan mengadakan pilihan raya itu buat semata-mata kerana BN mahu memerintah sendirian di kedua-dua negeri itu.

“Melaka sudah diperintah sendirian, Johor pun serupa, dulu berpakatlah sekarang sendirian. Dua negeri ni diambil alih daripada parti lawan (PH) pada Mac 2020 dengan muafakat antara parti-parti pembangkang.

“Bila dah jadi kerajaan, dan kuat semula tengah dok berjalan elok di separuh jalan, tup-tup depa pulun sungguh-sungguh cari pasai sampailah bubar DUN dan buat PRN… pasai nak perintah sendirian,” kata Muhammad Sanusi tanya menyebut nama BN atau pun UMNO.

Beliau dalam hantaran di Facebook turut berkongsi laporan berita bertajuk Pendirian Pas berhubung MN, PN sudah terserlah: Jamil Khir.

Dalam laporan tersebut, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah Pas untuk bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah diduga awal.

Menurutnya, pendirian sebenar Pas berhubung gagasan Muafakat Nasional (MN) atau rakan kongsi Perikatan Nasional (PN) sudah terserlah apabila parti itu menyatakan ‘Pas mahu perintah Kedah bersendirian’.

“Dok tak dok dia pi kata kat kita – rupanya seperti diduga Pas nak perintah sendirian di Kedah.

“Kerana berita ni sangat luar biasa, kena tulis jugak sepatah dua supaya anak cucu tak lupa,” kata Muhammad Sanusi sinis.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu program politik di Kompleks Pas Kota Sarang Semut pada Sabtu lalu telah menyatakan, parti itu berhasrat memerintah Kedah secara bersendirian selepas PRU-15 tanpa perlu menumpang kerajaan campuran.

Katanya, jika Pas tidak memerintah bersendirian, seboleh-bolehnya parti lain yang ‘menumpang’ mereka bukan sebaliknya.-MalaysiaGazette