Ketiga-tiga premis itu diarahkan tutup sementara bagi melakukan pembersihan semula.

GEORGE TOWN – Penemuan najis tikus, makanan mentah diletakkan atas lantai serta membuang sisa minyak kotoran ke dalam longkang.

Itu antara kesalahan dilakukan tiga premis makanan di daerah Barat Daya yang dikesan Penguatkuasaan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi satu pemeriksaan mengejut semalam.

MBPP menerusi satu hantaran di Facebook berkata, tiga daripada empat premis makanan yang diperiksa itu diberi notis penutupan sementara bagi kerja pembersihan menyeluruh.

Najis tikus antara yang ditemui dalam serbuan di premis makanan tersebut.

Jelasnya, penutupan sementara itu dilakukan susulan premis berkenaan melanggar peraturan kebersihan asas yang ditetapkan selain mengundang implikasi buruk kepada pengguna.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati terdapat najis tikus dalam premis terbabit selain bahan mentah diletakkan atas lantai.

“Selain itu, pemilik dan pekerja premis juga didapati mengalirkan sisa basuhan yang kotor termasuk minyak ke dalam parit awam selain perangkap minyak (grease trap) tidak selenggara dengan baik.

Perkakasan yang digunakan juga didapati kotor.

“Keadaan ini akan memberi impresi buruk dan kesan negatif terhadap pengendalian masakan,” katanya hari ini.

Tiga premis makanan kotor di daerah Barat Daya, Pulau Pinang diarah tutup.

Sehubungan itu MBPP berkata, semua pengusaha premis makanan dinasihati supaya tidak berkompromi dengan aspek kebersihan.

“Pemilik premis perlu sentiasa menyelenggara premis dengan sempurna supaya kualiti penyediaan makanan terjamin,” jelas kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast