Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang mengesahkan sudah menghantar laporan lengkap kepada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mengekalkan status Tasik Chini sebagai rizab biosfera.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, keputusan mengenai status itu akan diumumkan UNESCO selepas menerima laporan tersebut.

Pada masa sama, kerajaan negeri sedia melakukan penambahbaikan di kawasan itu untuk mengekalkan statusnya.

“Perkara ini sebenarnya turut melibatkan kerjasama daripada Kerajaan Pusat yang mana di peringkat Kerajaan Pahang sudah menghantar laporan kepada UNESCO.

“Apa-apa pun kita akan tunggu keputusan daripada pihak UNESCO,” katanya selepas majlis pelancaran Acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 bertempat di Kuantan 188, hari ini

Untuk rekod, Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan UNESCO.

Namun  media tempatan pada Ahad lalu melaporkan status rizab biosfera UNESCO Tasik Chini kini dalam penelitian semula.

Ini kerana, Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mengikut tinjauan UNESCO. – MalaysiaGazette