Paul Yong Choo Kiong rape Indonesian maid
Paul Yong Choo Kiong.

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan memperhalusi kedudukan Paul Yong dalam mesyuarat bulanan yang akan diadakan Jumaat ini.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh telah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas kesalahan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Paul merupakan Bendahari PBM.

”Sebagai sebuah parti politik yang mendukung kedaulatan undang-undang, kami amat menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung kes Paul Yong.

”Pada ketika ini, pihak kami dimaklumkan bahawa beliau telah dibenarkan untuk membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi.

”Kami amat yakin kepada sistem kehakiman negara dan percaya proses perundangan yang dilalui oleh beliau akan berlaku secara saksama dan adil,” kata Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia, Zakaria Abdul Hamid.

Paul yang juga bekas wakil rakyat dari DAP berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Namun demikian, Abdul Wahab membenarkan permohonan peguam mewakili tertuduh, Datuk Rajpal Singh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Beliau kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah. – MalaysiaGazette