rafizi ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Pasukan Khas “Jihad Tangani Inflasi” Tan Sri Annuar Musa yang memperlekehkan desakan agar gaji menteri dipotong akibat krisis kenaikan harga barang disifatkan sebagai bongkak.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, desakan agar gaji menteri dipotong bukanlah bertujuan untuk mengurangkan harga barang.

Sebaliknya menurut beliau, desakan itu merupakan perlambangan hasrat rakyat berhubung kemelut kenaikan harga barang yang dialami ketika ini.

“Beliau lupa bahawa di negara-negara lain, layanan kepada menteri-menteri yang gagal menguruskan ekonomi sehingga menyusahkan rakyat adalah lebih keras dari potongan gaji. Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada yang dipenjarakan,” kata Rafizi.

Rafizi berkata, potongan gaji menteri merupakan satu isyarat dari rakyat bahawa mereka telah gagal menjalankan tugas menguruskan ekonomi sehingga kenaikan harga tidak terkawal dan menekan rakyat.

Katanya, pemotongan gaji menteri adalah sebagai satu bentuk pemaklumkan bahawa menteri sensitif kepada kepayahan yang dialami rakyat dan ia satu bentuk solidariti bersama-sama masyarakat.

Potongan gaji menteri juga kata Rafizi, akan menghantar isyarat bahawa menteri tidak terkecuali daripada kempen penjimatan yang diarahkan kepada penjawat-penjawat awam.

Rafizi berharap lebih ramai pemimpin masyarakat dan orang ramai meneruskan desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji untuk membentak kembali keangkuhan menteri seperti Annuar.

“Jika tidak, mereka hanya akan mempengerusikan jawatankuasa demi jawatankuasa yang mengambil berbulan lama sebelum sesuatu keputusan konkrit diambil.

“Setelah satu keputusan diambil, berbulan pula masa yang diperlukan untuk melaksanakan keputusan. Apabila keputusan hendak dilaksanakan, jawatankuasa yang lain pula ditubuhkan untuk mengkaji masalah yang sama.

“Kegilaan ini perlu dihentikan. Hanya melalui desakan rakyat yang kena kepada poket menteri-menteri, barulah mereka berasa keutamaan untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Annuar mencabar pihak yang mencadangkan agar gaji anggota kabinet dipotong, agar menamakan negara yang berjaya menurunkan kadar inflasi setelah melaksanakan langkah itu.

Bercakap dengan pemberita di Parlimen, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia membayangkan walaupun gaji setiap menteri dipotong, jumlah penjimatannya tidak memadai untuk mengubah keadaan.

“Bolehkah anda namakan satu negara yang berjaya turunkan inflasi dengan (menteri) potong gaji?” soalnya dalam sidang media.

Dia berkata demikian ketika ditanya pemberita jika dia melihat cadangan agar gaji menteri dipotong adalah sesuatu yang bagus bagi mendepani inflasi di Malaysia.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast