Ir. Izham Hashim

SHAH ALAM – Cadangan pembinaan lebuh raya baharu Projek Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJD Link) adalah untuk menyuraikan kesesakan trafik terutama di kawasan Bandaraya Petaling Jaya.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Ir. Izham Hashim berkata, lebuh raya itu menyediakan sambungan utama kepada semua jalan raya dan lebuh raya sedia ada di sekitarnya.

Projek itu, kata beliau, melibatkan sambungan kepada enam lebuh raya sedia ada dan akses kepada lima laluan rel utama bagi mencapai objektif untuk menyuraikan trafik.

“Cadangan ini turut mengambil kira sambungan kepada sistem pengangkutan awam serta sesi libat urus yang telah diadakan bersama kementerian Pengangkutan serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Bagi status pelaksanaan PJD Link di peringkat Selangor, kerajaan negeri telah sedia maklum bahawa lebuh raya ini telah mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri pada 12 November 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Pertanyaan Mulut R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) yang bertanyakan status terkini pembinaan projek PJD Link.

Menurut Ir. Izham, satu Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertarikh 9 September 2020 iaitu kertas Exco-MTES telah disahkan oleh MMKN ke-34 pada 30 September tahun itu dan telah menimbang serta bersetuju secara dasar cadangan pelaksanaan PJD Link.

Katanya, pelaksanaan itu mengambil kira beberapa perkara antaranya, mengambil maklum cadangan PJD Link melibatkan i) pembinaan lebuh raya empat lorong dua hala bertingkat sepenuhnya sepanjang 34.4 kilometer, merangkumi pembinaan jalan utama 12.5 kilometer dan tanjakan sepanjang 21.8 kilometer bermula di Plaza Tol NKVE (Damansara) dan berakhir di Lebuh Raya Bukit Jalil (Bandar Kinrara).

Kedua, katanya, cadangan jajaran PJD Link akan menggunakan rizab jalan dan sungai sedia ada serta, iii) lapan persimpangan bertingkat akan dibina di sepanjang jajaran lebuh raya itu.

Jelas beliau, kerajaan juga bersetuju projek PJD Link itu dilaksanakan mengikut tatacara pemprosesan permohonan secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Kita turut bersetuju bahawa pihak konsesi perlu melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Sosial (SIA) bagi pelaksanaan projek ini.

“Masing-masing bersetuju supaya pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi penyelarasan pembinaan projek ini dengan pembangunan yang telah diluluskan di peringkat MBPJ di kawasan rizab sungai.

“Kerajaan juga bersetuju supaya proses pengambilan balik tanah hendaklah diselesaikan terlebih dahulu dengan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling akan membantu menyegerakan proses tersebut di bawah Dasar 100 Hari,” katanya.

Menurut Ir. Izham lagi, persetujuan juga dicapai supaya LLM mengkaji cadangan kerajaan negeri untuk menyediakan bypass di kawasan Bukit Jalil ke lebuh raya PJD Link. – MalaysiaGazette