Seorang kanak-kanak dicakar oleh monyet-monyet yang bekeliaran di kawasan apartmennya di Yamaguchi. Foto mirror.co.uk

TOKYO – Seekor daripada geng monyet yang mengganas di sebuah bandar Jepun sejak berminggu-minggu lalu telah ditangkap dan dibunuh.

Haiwan itu telah mencederakan hampir 50 orang di Yamaguchi.

Monyet jantan itu tangkap di kawasan sebuah sekolah menengah semalam oleh pemburu yang ditauliahkan khas.

Ia telah ditenangkan dan kemudiannya dimatikan selepas disahkan salah satu haiwan melakukan serangan ke atas penduduk.

Pihak berkuasa telah memburu monyet itu sejak serangan bermula ke atas orang dewasa dan kanak-kanak kira-kira tiga minggu lalu.

Kebanyakan mangsa mengalami kesan calar dan gigitan.

Monyet yang ditangkap dianggarkan berumur empat tahun dan tingginya kira-kira setengah meter.

Haiwan ini adalah biasa di negara ini walaupun di beberapa kawasan ia dianggap sebagai haiwan perosak, memakan tanaman dan kadang-kadang memasuki rumah.

Bagaimanapun, serangan di Yamaguchi adalah luar biasa kerana melakukan banyak serangan dalam ”tempoh yang singkat”.

“Pada mulanya, hanya kanak-kanak dan wanita yang diserang tetapi baru-baru ini, orang tua dan lelaki dewasa turut menjadi sasaran.

Usaha awal menangkap haiwan itu dengan perangkap gagal dan rondaan polis yang ditubuhkan pada awal Julai juga tidak berjaya sehingga kini.

Laporan termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dicakar selepas seekor monyet menceroboh apartmennya dan seekor haiwan memasuki bilik darjah tadika. – Agensi