Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Meskipun tidak menyertai perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan hari ini, Ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong RUU tersebut.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), kelulusan RUU itu turut membuktikan Ahli-ahli Parlimen Bersatu berada dalam undi tersebut.

Menurut beliau, sebenarnya ramai dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen Bersatu mahu menyertai perbahasan RUU itu tetapi beliau menegahkan mereka daripada berbuat demikian.

“Ramai mahu berucap dalam Dewan Rakyat tapi saya mohon mereka supaya bersabar kerana apa yang dikatakan maksudnya kepada kami ini ada yang sesetengah mengatakan seolah-olah menggunakan analogi-analogi, nama-nama yang bukan-bukan.

“Tapi hari ini percayalah bahawa daripada semua yang hadir termasuklah Ahli-ahli Parlimen Bersatu, kami mengundi menunjukkan apa?

”Ini menunjukkan bahawa kami adalah kumpulan yang tahu akan undang-undang dan tahu menggunakan segala apa undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri 10 Ahli Parlimen Bersatu antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Gombak), Datuk Kamaruddin Jaafar (PN-Bandar Tun Razak), Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), Datuk Seri Dr. Abd Latiff Ahmad (PN-Mersing).

Turut serta Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali (PN-Bagan Serai), Datuk Seri Azizah Md Don (PN-Beufort), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PH-Indera Mahkota), Datuk Seri Mustapa Mohamed (PN-Jeli), Datuk Mas Ermieyati (PN-Masjid Tanah), Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah).

Hamzah turut menjelaskan, daripada kalangan Ahli Parlimen Bersatu, ramai daripada mereka adalah menteri dan timbalan menteri.

“Saya berani bercakap di luar Dewan Rakyat sebab saya tidak boleh bercakap dalam Dewan Rakyat. Saya menteri dalam kerajaan, Datuk Seri Azmin juga menteri, ramai daripada kami ini frontbench (menteri dan timbalan menteri).

“Ini yang menjadi masalah kepada kita. Hanya tinggal seorang dua sahaja iaitu Azizah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Ahli-ahli Parlimen Bersatu turut memikirkan kesan daripada tindakan jika ada dalam kalangan mereka berbahas di Dewan Rakyat.

“Cuba fikir kalau cakap sebegini dalam Dewan Rakyat apa berlaku? Akan pecah-belah lagi, apa yang kita lakukan untuk lulus undang-undang,” katanya lagi.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akhirnya diluluskan di Dewan Rakyat selepas mendapat 209 undi daripada 222 Ahli Parlimen.

Seramai 11 daripadanya tidak hadir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast