Mohd Izzat Afifi

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti yang diluluskan melebihi suara dua pertiga ahli Dewan Rakyat hari ini.

Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid menyifatkan RUU itu memberi ruang kepada proses pemulihan demokrasi Malaysia, di samping mampu meredakan suhu politik tanah air.

“MBM menganggap lulusnya enam perkara dalam Pindaan Perlembagaan Larangan Ahli
Parlimen Melompat Parti adalah kemenangan demokrasi untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Hal yang demikian diharapkan dapat melindungi suara rakyat sebagai asas kepada negara demokrasi,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Tambah Mohd Izzat lagi, MBM berpandangan gejala lompat parti yang berlaku berleluasa sebelum ini adalah satu kesalahan moral.

Ujarnya, kelulusan Pindaan Perlembagaan secara tidak langsung telah mengabsahkan tindakan melompat parti sebagai satu perbuatan yang bercanggah dengan lunas Perlembagaan.

“Kelulusan pindaan Perlembagaan ini juga menzahirkan iltizam politik Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke arah langkah penambahbaikan sistem pentadbiran dan politik Malaysia sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Ini boleh dilihat melalui rundingan dan muafakat blok Kerajaan dan Pembangkang dalam
menyiapkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Menimbang RUU Larangan
Melompat Parti.

“MBM akan terus menyokong seluruh usaha ke arah transformasi politik dan pentadbiran yang dikemukakan melalui MoU Kerajaan dan Pakatan Harapan sebagai satu ikhtiar mewujudkan kestabilan politik di Malaysia,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast