MELAKA – Sebanyak 13 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) berkeluasan 36.3 hektar berkonsepkan sewa beli akan dibina di seluruh negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan dan RMK-13.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, jumlah itu sebagai tambahan kepada lima PPR termasuk tiga yang telah didiami dan dua lagi sedang dalam pembinaan dan dijangka siap tahun depan.
Menurutnya, 13 PPR terbabit adalah Lendu, Machap, Lesung Batu, Bukit Katil, Tun Kudu, Pondok Batang, Nyalas, Asahan, Masjid Baru, Paya Rumput, Sungai Udang, Durian Tunggal dan Sungai Rambai.
“Semua kawasan-kawasan ini telah dikenalpasti Lembaga Perumahan Melaka (LPM) yang mana keseluruhannya melibatkan keluasan berjumlah 89.61 ekar (36.3 hektar) dengan nilai berbilion ringgit.
“Unit-unit rumah ini juga kalau boleh konsepnya pun kita buat sewa dan miliki (RTO) sekaligus mereka dapat mendiami rumah yang berkualiiti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Skim RTO PPR Tehel dan PPR Klebang di PPR Tehel di sini hari ini.
Hadir sama , Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, skim RTO yang diputuskan daripada konsep sewa di PPR Tehel dan Krubong sebelum ini memberikan banyak kelebihan kepada penguni PPR berkenaan.
“Antaranya, penyewa tidak perlu membuat pinjaman dengan institusi kewangan atau bank-bank perdagangan yang mengenakan syarat pinjaman yang ketat untuk memiliki rumah sepenuhnya setelah tamat tempoh skim.
“Pengurusan dan penyelanggaraan PPR juga lebih mudah dah terjamin di bawah agensi kerajaan negeri tanpa perlu penubuhan perbadanan pengurusan (MC),” katanya.
Tambah beliau, skim itu juga diyakini dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan pemilikan rumah di Melaka berada yang kini berada pada tahap 83.5 peratus, lebih tinggi daripada paras nasional sebanyak 76.9 peratus.
“Malah, Melaka masih mengekalkan status sebagaio negeri yang menawarkan harga rumah terendah di Malaysia pada purata RM209,472 sebuah berbanding peringkat nasional RM432,445,” katanya.