Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama penerima Anugerah Tokoh Peminjam Berinspirasi serta Anugerah Keluarga Malaysia Berinspirasi pada majlis sambutan Jubli Perak 25tahun PTPN di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Selama 25 tahun menyumbang bakti memastikan tiada pelajar yang tercicir untuk mencapai impian berada di menara gading, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited menggalas peranan dan tanggungjawabnya.

Sehingga kini, perbadanan tersebut telah membantu lebih 3.67 juta pelajar melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan jumlah pinjaman RM66.87 billion.

Bekas peminjam PTPTN, Achmad Noorasyrul Noortaip mengakui pinjaman PTPTN sebagai salah satu penyumbang terbesar dia untuk mencapai impiannya bergelar graduan pada 14 tahun yang lalu.

Lahir daripada keluarga yang kurang berkemampuan, anak jati Sabah itu berkata, dengan adanya PTPTN, ibu dan bapanya tidak perlu berhutang keliling pinggang demi menanggung kos pelajarannya di Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak pada tahun 2005.

Bekas penuntut Program Diploma Pengurusan Pelancongan itu menambah, keperluan asas paling penting ketika menuntut di Sarawak adalah memiliki komputer riba dan mesin cetak.

Dengan pinjaman PTPTN yang diperolehi, membolehkan dia memiliki dua keperluan itu.

“Ketika belajar, saya memang tidak banyak sokongan kewangan kerana masa itu keluarga bukan dalam kalangan orang senang, jadi semasa semester pertama terpaksa meminjam ke sana sini. Bila sampai di UiTM, PTPTN ada buat program untuk pelajar-pelajar baharu dan saya buat permohonan pinjaman pada masa itu dan berjaya terima pinjaman tersebut.

“Semester kedua baru saya mampu membeli komputer riba, mesin cetak dan keperluan lain sebab sudah dapat pinjaman. Jadi tugasan universiti dapat saya selesaikan dengan lancar.

“Kerana pinjaman PTPTN, menjadikan saya pada hari ini, mencapai apa yang saya ada hari ini,” katanya.

Achmad Noorasyrul, 35, juga bersyukur kerana pinjaman PTPTN telah menyelamatkannya daripada tercicir daripada menyambung pendidikan yang lebih tinggi pada waktu itu.

Sehubungan itu, dia sangat menghargai usaha yang dilakukan PTPTN sepanjang penubuhannya.

“Ia sangat-sangat membantu dan memberi harapan dan laluan perjalanan saya sebab masa itu saya masih ingat lagi, ada rakan-rakan yang tidak dapat menghabiskan pelajaran kerana kekangan kewangan.

Achmad Noorasyrul merupakan penerima Anugerah Tokoh Peminjam sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN yang diadakan pada Rabu.

Meskipun kini bergelar Pengarah Urusan Syarikat Idolegacy Sdn Bhd, namun sehingga kini beliau tidak pernah lupa kepayahannya menuntut ilmu sebelum ini.

Namum dengan adanya pinjaman PTPTN sebagai ‘pembantu’ kewangan selama lebih kurang tiga tahun, akhirnya dia berjaya menamatkan pengajian.

“Terima kasih PTPTN kerana pernah membantu saya dulu ketika susah menuntut ilmu di menara gading. Dengan wang pinjaman itu. saya mampu meneruskan pelajaran sehingga tamat seterusnya mengejar impian saya sebagai seorang ahli perniagaan,”tambah beliau.

Selain menyediakan pinjaman, PTPTN turut menawarkan produk lain bagi menggalakkan rakyat Malaysia menabung bagi tujuan pendidikan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Bermula pada tahun 2004 sehingga kini, sebanyak 5.4 juta akaun telah dibuka menerusi Simpan SSPN Prime dengan jumlah simpanan mencecah RM12.5 bilion.

Seorang doktor, Sukanthi A/P Supamanam, 30 tahun berkata, dengan berbekalkan wang simpanan Simpan SSPN inisiatif ibu bapanya, beliau berjaya menamatkan pelajaran di luar negara.

Meskipun dihimpit kesempitan ekonomi sewaktu membesarkannya, namun Sukanthi berkata, ibu dan bapanya tidak pernah berhenti menabung untuknya sejak 2005 demi memastikan tabung pendidikannya sentiasa terisi walaupun hanya dengan RM20 setiap bulan.

“Ibu saya tahu pasal Simpan SSPN ini daripada rakannya. Selepas itu dia buka akaun untuk saya dari tahun 2005, dia mula menabung untuk saya sedikit demi sedikit ada nilainya RM20 sahaja pada masa itu, selepas itu bertambah sehingga lebih kurang RM100,” katanya.
Anak kelahiran Sekinchan, Selangor itu menambah, kegigihan ibu bapanya memotivasikannya untuk turut menabung untuk dua anaknya yang berusia dua tahun dan empat bulan menerusi Simpan SSPN.

Dengan keadaan ekonomi yang mencabar pada waktu ini, Sukanthi yakin pilihannya menabung dalam Simpan SSPN adalah keputusan yang tepat seperti yang pernah dilakukan oleh ibu dan bapanya sebelum ini.

“Anak saya berumur sebulan sahaja saya dah bukakan akaun. Kami pilih Simpan SSPN sebab dijamin kerajaan, selamat dan saya pun pernah mendapat manfaat daripada PTPTN. Ini memberi keyakinan untuk saya terus menyimpan.

“Simpan SSPN untuk anak saya memang saya simpan untuk pelajaran mereka, sekarang ini banyak cabaran yang kita hadapi dari segi ekonomi jadi kalau tidak menyimpan takut ada masalah pada masa akan datang apatah lagi aspek pendidikan memang kena ada perancangan dengan betul dari aspek kewangan,” tambah beliau.

Muhammad Hafidzudden Amin menunjukkan Anugerah Keluarga Malaysia Berinspirasi yang diterima pada majlis sambutan Jubli Perak 25tahun PTPN di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2022.

Sementara itu, Muhammad Hafidzudden Amin juga terinspirasi untuk memilih menabung bersama Simpan SSPN untuk jaminanan pendidikan anaknya kelak.

Ujar Jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) berusia 30 tahun itu, kesungguhan ibu dan bapanya menabung di bawah skim tersebut demi menampung kos pelajarannya sebelum ini akhirnya membuahkan hasil.

Beliau sendiri gembira kerana dengan jumlah tabungan mencecah RM40,000, anak kelahiran Seremban itu tidak perlu membuat pinjaman sepanjang bergelar mahasiswa di sebuah IPT.

”Semasa saya lanjutkan pengajian di universiti, masa itu saya tidak perlu buat pinjaman PTPTN sebab ada tabungan Simpan SSPN untuk menampung kos pelajaran saya pada masa itu. Bagi saya Simpan SSPN sangat bagus untuk perancangan kewangan kerana kita tidak tahu kos belajar pada masa akan datang yang semakin meningkat.

“Semasa saya belajar pun kos mencecah RM40,000. Kalau nak buat pinjaman boleh, tapi kita pula terikat membayar balik pinjaman,” ujarnya.

Oleh sebab itu, Muhammad Hafidzudden mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya selepas bergelar bapa, buktinya anaknya Yusuff Haider juga telah mempunyai akaun Simpan SSPN yang dibukanya sejak tahun 2016.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat untuk turut serta menabung bersama Simpan SSPN, sebagai salah satu sumber yang bakal membantu generasi muda menyambung pelajaran tanpa berhadapan dengan kesulitan kewangan.

Dalam Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN ini juga, Kelab Simpanan Pendidikan juga turut dilancarkan oleh PTPTN bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan kanak-kanak dan memupuk kesedaran pentingnya menabung demi masa depan melalui Simpan Skim Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Kelab Simpanan Pendidikan ini akan beroperasi di bawah aktiviti kokurikulum kelab dan persatuan sekolah yang boleh dipilih murid untuk menyertainya dan kegiatannya tertakluk kepada Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan Sekolah) 1998 di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Terdapat 13 buah sekolah di lima buah negeri telah berdaftar untuk menjadikan Kelab Simpanan Pendidikan ini sebagai salah satu kelab atau persatuan dalam modul kokurikulum sekolah.

Kecemerlangan sesebuah organisasi bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja. Ia juga dinilai melalui perkhidmatan yang berintegriti dan sumbangannya kepada masyarakat seperti yang telah diberikan PTPTN sepanjang 25 tahun penubuhannya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast