Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa hadir ke Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Parlimen sama ada daripada blok kerajaan, pembangkang dan bebas apabila pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti diluluskan.

Perdana Menteri berkata, sejarah tercipta apabila pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

”RUU berkenaan diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan seramai 209 Ahli Parlimen yang hadir mengundi untuk menyokong, tiada yang menentang atau berkecuali, manakala 11 tidak hadir.

”Syabas kerana Ahli-ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia telah menjalankan amanah rakyat melalui Sistem Demokrasi Berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, RUU ini terhasil selepas pelbagai sesi libat urus, pandangan serta melalui Jawatankuasa Pilihan Khas secara bi-partisan melibatkan wakil parti-parti utama di dalam Dewan Rakyat.

Jelas beliau, RUU ini penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

”Terima kasih juga kepada semua 54 Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka. Ini adalah isyarat yang jelas bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan dan pelaksanaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette