chicken ceiling price subsidy
Gambar hiasan

Ayam merupakan sumber protein utama rakyat Malaysia. Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2019, jumlah penggunaan tahunan ayam di Malaysia ialah 50.9 kg per kapita, jauh lebih tinggi dari sumber protein yang lain.

Justeru itu, Kerajaan Malaysia wajar menguruskan ekonomi
ayam dengan bijaksana untuk memastikan bekalan ayam mencukupi pada harga mampu-beli oleh pengguna serta mampu-jual oleh penternak ayam.

Kesan daripada isu-isu global, kos menternak ayam di Malaysia telah meningkat dengan ketara kerana Malaysia bergantung tinggi kepada import untuk sumber makanan/ dedak ayam. Situasi ini telah menyebabkan ramai penternak ayam sukar untuk meneruskan operasi dengan kos penternakan yang merugikan dan akhirnya mengakibatkan kekurangan bekalan ayam di pasaran.

Setakat ini, kerajaan telah berjaya menstabilkan bekalan ayam di pasaran dengan menyalurkan subsidi sejumlah RM1.1 billion kepada penternak ayam dan telur.

Namun begitu, subsidi ini mesti dilihat sebagai tindakan jangka masa pendek kerana jumlah subsidi besar yang berpanjangan akan memberi tekanan hebat kepada kewangan kerajaan. Tambahan lagi, pembiayaan subsidi sebegini hanyalah mengubati ‘simptom’ tanpa merawat ‘penyakit’ sebenar yang dihadapi.

Kerajaan perlu segera menerajui usaha dan menyediakan dana serta insentif yang mencukupi untuk mengurangkan kebergantungan tinggi kepada import sumber makanan/ dedak ayam. Ini akan dapat membina eko-sistem ekonomi ayam Malaysia yang lebih kompetitif dan mampan untuk jangka masa
panjang. Ianya juga akan dapat mengurangkan aliran keluar wang, terutamanya ketika nilai Ringgit yang menyusut.

Pada masa yang sama, hasil perbincangan di antara kerajaan dan
penternak ayam, kerajaan telah menaikkan harga siling ayam dari RM 8.90/kg kepada RM 9.40/kg. Kadar baru ini dipilih sebagai win-win untuk mengimbangi antara kemampuan pengguna untuk membeli (affordability) dan kemampuan
penternak untuk membekal (availability).

Harga siling ayam ini perlu kerap disemak agar mencapai matlamat-nya. Malah cadangan untuk harga ayam di apung wajar diteliti secara terperinci oleh kerajaan sebagai langkah jangka masa panjang untuk menjana ekonomi ayam Malaysia yang berdaya-saing.

Ketika ini, ekonomi ayam Malaysia telah menghasilkan Self Sufficiency Level (SSL) ayam pada tahap 104%. Ini bermakna pengeluaran ayam melebihi permintaan ayam dalam negara. Oleh itu, Malaysia mengeksport ayam ke beberapa negara, termasuklah Singapura yang merupakan pasaran eksport ayam terbesar Malaysia, iaitu 97% dari jumlah eksport ayam Malaysia.

Pada tahun 2021, Singapura mengimport sebanyak 46 juta ekor ayam setahun (3.8 juta sebulan) dari Malaysia. Jumlah import ini meliputi 34% daripada keperluan ayam Singapura.

Oleh kerana itu, Singapura amat terkesan dengan tindakan Kerajaan Malaysia yang telah menghentikan eksport ayam bermula 1 Jun 2022, untuk menstabilkan bekalan serta harga ayam di Malaysia. Singapura dengan pantas telah memberi akreditasi kepada Indonesia dan telah mula mengimport ayam
dari Indonesia.

Sebelum ini, Singapura tidak pernah mengimport ayam dari Indonesia. Dengan lebihan kapasiti pengeluaran ayam yang besar, Indonesia mampu untuk mengganti Malaysia bagi memenuhi keperluan ayam Singapura.

Justeru itu, kerajaan wajar mengkaji keputusan penghentian eksport ayam tersebut. Adalah common-sense untuk kerajaan segera bertindak untuk melindungi perdagangan ayam dengan Singapura memandangkan Singapura merupakan pasaran eksport ayam Malaysia terbesar.

Sekiranya penghentian eksport ayam ini berterusan untuk jangka masa lama, ekonomi ayam negara bakal menerima impak negatif. Penternak ayam Malaysia, terutamanya penternak kecil dan sederhana bumiputera, sudah pasti akan mengalami kesukaran untuk mengeksport ayam dan mungkin terpaksa mengecilkan operasi serta mengurangkan tenaga kerja.

Seterusnya, kerajaan di gesa untuk meneliti dan menarik balik keputusan untuk mengimport ayam menerusi CoopMart, seperti yang di umumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi pada 22 Julai 2022. Jika Self Sufficiency Level (SSL) ayam berada pada 104%, iaitu bekalan melebihi permintaan, adakah make-sense untuk mengimport ayam? Keputusan untuk
mengimport ayam tersebut di jangka memberi lebih banyak kesan negatif dari positif kepada ekonomi ayam negara.

Ekonomi ayam Malaysia mesti memiliki eko-sistem yang mampan agar dapat memastikan sumber protein utama rakyat senantiasa mencukupi pada harga mampu-beli oleh pengguna dan mampu-jual oleh penternak ayam. Pengurusan ekonomi ayam Malaysia perlu dilaksanakan secara bijaksana, yang make-sense dengan berasaskan common-sense.

Wan Azrain Adnan adalah Ketua Pegawai Eksekutif MATA Aerotech

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast