MEXICO CITY – Sekumpulan pendatang telah melarikan diri dari sebuah trak yang ditinggalkan di Mexico, sebulan selepas lebih 50 orang ditemui maut dalam keadaan yang sama di Amerika Syarikat (AS).
Lori itu sedang menuju ke sempadan AS tetapi ditinggalkan oleh pemandu sebelum pusat pemeriksaan, kata paramedik.
Mereka terpaksa keluar dari bahagian atas lori untuk menyelamatkan diri daripada keadaan panas yang menyesakkan.
Pihak berkuasa menemui sekurang-kurangnya 94 orang, kebanyakannya warga Guatemala, berada di dalam dan sekitar lori itu pada malam Rabu.
Kebanyakan daripada mereka telah dirawat kerana patah buku lali dan lutut selepas terjun dari bahagian atas kenderaan.
Paramedik berkata, seorang lelaki yang tidak sedarkan diri telah dibawa ke hospital.
Pihak berkuasa dipanggil sekitar 9.20 malam selepas seorang pekerja sebuah stesen minyak berhampiran tempat lori itu ditinggalkan membantu pendatang itu melarikan diri, kata Pengarah Perlindungan Awam di Oluta, Jose Dominguez.
Kementerian luar Guatemala berkata, 89 daripada mereka yang ditemui adalah warga Guatemala, termasuk 55 orang dewasa, dengan selebihnya kanak-kanak dan keluarga.
Terdapat juga lima orang dari Honduras dan empat dari Ecuador, serta dua orang India, seorang Salvador dan seorang Nepal. – BBC