Mohd Shafiq Abdullah

KUALA LUMPUR – Penambahbaikan berterusan berhubung dengan kebajikan penjawat awam, merangkumi semakan saraan (gaji, elaun dan kemudahan) serta laluan kerjaya juga sedang dibuat secara holistik dengan mengambil kira kesesuaian dan situasi ekonomi serta kedudukan kewangan negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abddullah berkata, pada dasarnya JPA telah melaksanakan beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenalkan pada tahun 2002 melibatkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji.

Sebagai contoh pada tahun 2016, faedah pemindahan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) diberikan kepada penjawat awam.

Selain itu, hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak yang berkepentingan, dasar-dasar berkaitan kebajikan penjawat awam termasuklah kemudahan bekerja dari rumah (BDR), waktu bekerja yang fleksibel (waktu bekerja fleksi), penambahbaikan kemudahan cuti (contoh cuti menjaga anak yang dikuarantin atau memerlukan pengasingan) dan elaun turut dipanjangkan kepada penjawat awam.

”Pada masa yang sama, JPA sentiasa prihatin dan terbuka dengan pandangan semua pihak yang berkepentingan berkaitan kebajikan penjawat awam melalui platform sedia ada seperti Majlis Bersama Kebangsaan (MBK), Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan sesi konsultasi secara berterusan dengan agensi-agensi kerajaan dan kesatuan-kesatuan pekerja secara langsung dan tidak langsung.

“JPA komited dalam memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terpelihara dan ditambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan aspirasi keterangkuman Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau berisiko berdepan protes jalanan daripada penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, cadangan untuk menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun tiada tindakan diambil.

“Jika gaji mereka tidak disemak sebelum Parlimen dibubarkan, CUEPACS bersedia untuk berpiket di Putrajaya bersama penjawat awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette