Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan dengan sedikit pindaan kepada permohonan berkaitan Perlembagaan UMNO.

Kelulusan RoS itu berkuat kuasa pada 29 Julai 2022, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dengan kelulusan ini bermakna pemilihan UMNO untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat dari enam bulan selepas PRU-15 diadakan.

Menurutnya, RoS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih dari enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat).

RoS juga meminta agar satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat).

”Bagi pihak UMNO, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada RoS dan semua pihak yang terlibat dalam meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO,” katanya.

UMNO telah meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli fokus kepada gerak kerja pilihan raya.

Pindaan perlembagaan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO (PAU Khas) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Mei lalu.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast