Gerakan Pas
Oh Tong Keong

GEORGE TOWN – Parti Gerakan mendesak Rang Undang Undang (RUU) Anti Lompat Parti dilaksanakan di peringkat negeri setelah RUU itu diluluskan majoriti ahli Dewan Rakyat semalam demi memastikan Kerajaan Persekutuan dan negeri berkongsi matlamat dan hala tuju yang sama.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, semua kerajaan negeri perlu membentangkan RUU ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ia merupakan tanggungjawab semua kerajaan negeri dalam negara.

“Selagi kerajaan negeri itu mempunyai keazaman politik untuk melaksanakannya, ia pasti akan mendapat sokongan daripada parti pemerintah dan parti pembangkang di negeri itu untuk meluluskan RUU tersebut.

“Ia terbukti dalam Dewan Rakyat semalam yang mana kerajaan pemerintah serta pihak pembangkang sokong RUU tersebut.

“Malah, dengan RUU ini menunjukkan keseriusan menangangi tindakan ahli politik lompat parti yang memberi kesan kepada negara kita,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Tong Keong, ‘Langkah Sheraton’ telah membuktikan bahawa sesebuah kerajaan itu akan dijatuhkan apabila terdapat wakil rakyat melompat parti.

“Insiden tersebut secara tidak langsung telah mencatatkan sejarah dalam negara kita setelah mencapai kemerdekaan selama 60 tahun lebih.

“Harus ingatkan bahawa insiden pengambilalihan kuasa kerajaan negeri Perak berlaku akibat ADUN melompat parti.

”Begitu juga dengan pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor yang diadakan kerana kerajaan negeri itu hilang sokongan daripada majoriti wakil rakyatnya. Ini membuktikan bahawa pelaksanaan RUU di peringkat negeri amat diperlukan.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut meminta kerajaan negeri meminda Perlembagaan negeri supaya suatu penyelarasan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dapat tercapai berhubung dengan RUU Anti Lompat Parti,” jelas beliau.

Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette