Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 JUN 2022.

SHAH ALAM – Perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) hari ini, ditangguhkan ke 10 Ogos kerana saksi pendakwaan terakhir kes itu masih positif Covid-19.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memberitahu, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bahawa saksi tersebut yang merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih positif Covid-19 dan dikuarantin sehingga 31 Julai.

“Jika diizinkan Yang Arif kami mohon sambung bicara kes ini diteruskan pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu 10 hingga 12 Ogos depan,” katanya.

Memandangkan tiada bantahan daripada peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, mahkamah kemudiannya menangguhkan perbicaraan hari ini dan menetapkan 10 hingga 12 Ogos depan untuk menyambung perbicaraan.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – Bernama