Suruhanjaya Tenaga

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia pada Rabu lepas.

Menerusi kenyataan hari ini, ST berkata, siasatan itu dilaksanakan dalam usaha untuk memastikan insiden sama tidak berulang selain akan menyarankan langkah-langkah penambahbaikan yang perlu dilakukan.

“ST memandang serius mengenai kejadian gangguan bekalan elektrik yang melibatkan kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia pada 27 Julai lalu,” kata ST.

ST berkata, tindakan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 dan PeraturanPeraturan Elektrik 1994 boleh dikenakan kepada mana-mana pihak, sekiranya didapati berlaku kesalahan yang boleh dikaitkan.

ST berkata siasatan awal kejadian gangguan bekalan elektrik itu mendapati berlaku pelantikan (trip) pada Pencawang Masuk Utama (PMU) 275kV Yong Peng Utara, Johor berikutan kerosakan peralatan pada pencawang tersebut.

“Kejadian itu turut menyebabkan beberapa talian penghantaran dari PMU lain terbabit sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik dalam sistem Grid Nasional.

“Gangguan bekalan ini juga telah mengakibatkan sistem Grid Nasional mengalami kejatuhan frekuensi dan skim perlucutan beban automatik diaktifkan di mana beberapa kawasan diputuskan bekalan elektrik secara automatik bagi menstabilkan semula frekuensi sistem grid,” katanya.

Bagaimanapun, menurut ST Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan bekalan secara berperingkat setelah mengambil kira kestabilan sistem grid, di mana proses pemulihan bekalan bermula pada pukul 12:56 tengah hari dan selesai sepenuhnya dalam tempoh 2 jam 21 minit.

TNB pada Rabu mengesahkan berlaku gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia berpunca daripada kerosakan satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari dan antara kawasan yang terlibat ialah Petaling Jaya, Cheras, Bangi (Lembah Klang); Bayan Lepas dan Seberang Jaya (Pulau Pinang); Panchor, Johor dan Bandar Indera Mahkota, Pahang. – BERNAMA