KUALA LUMPUR – Tidak sampai dua minggu menebang pokok pisang, usahawan selebriti kontroversi, Datuk Seri Vida mendakwa kedai perniagaan milik anaknya, Cik B iaitu Boba Lova yang terletak di Ipoh, Perak didakwa terkena perbuatan sihir lagi.
Jelas Vida, kali ini beliau terjumpa dua keping syiling lama di hadapan kedai anaknya pula baru-baru ini.
Kata wanita kelahiran Kelantan itu, beliau terpaksa menggunakan khidmat seorang ustaz untuk menyelesaikan perbuatan sihir yang dipercayai dihantar oleh seseorang yang dikenalinya.
“Sebelum ini hantar sihir di pokok pisang di depan kedai hingga menyebabkan pelanggan beranggapan kedai anak saya sudah tidak beroperasi lagi dan baru-baru ini saya jumpa pula syiling lama di depan kedai.
“Saya sebenarnya mengetahui siapakah individu yang melakukan perkara terkutuk itu namun biarlah bagi menjaga aib yang melakukan perbuatan terkutuk ini,” katanya.
Pertengahan bulan lalu, Vida menerusi satu hantaran yang dibuat di Youtube meluahkan rasa kecewa dengan situasi kedai anaknya itu yang kini sunyi sepi tanpa kehadiran pelanggan.
“Kedai Cik B sebelum ini sangat popular. Orang datang dekat Jelapang tapi mereka kata kedai ini ada terkena sihir. Saya tak percaya masa itu. Bayangkanlah, ada yang beritahu, mereka datang sini tapi nampak kedai tutup sedangkan saya memang buka.
“Ada juga yang beritahu kata tak nampak kedai saya,” katanya.
Selain itu, dakwa Vida, beberapa batang pokok pisang yang terletak di persekitaran kedai Cik B juga dikatakan telah disihir dan dletakkan benda berkaitan sihir oleh individu tidak bertanggungjawab atas tujuan tersebut.
Berikutan itu kata Vida, dia telah mengambil inisiatif untuk menebang pokok-pokok tersebut.
“Saya ada pergi berubat (secara alternatif), dan didapati ada yang letak benda sihir tersebut di pokok pisang itu. Jadi saya tebang pokok-pokok itu bagi buang sial. Siapa yan dajalkan aku, nk buang sial. Aku tebang dan cantas pokok pisang ini!” katanya. – MalaysiaGazette