Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berucap semasa menyambut Konvoi Kembara Keluarga Malaysia Daerah Petaling yang dilepaskan oleh Perdana Menteri Malaysia dari Putrajaya ke 'check point' Shah Alam di Dewan Jati, Seksyen 16. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2022.

SHAH ALAM – UMNO Bahagian Shah Alam kini lebih fokus kepada persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.

Ketuanya, Datuk Azhari Shaari berkata, keputusan itu melegakan semua pihak dan jika sebaliknya, parti itu berdepan kesukaran untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

“Alhamdulillah memang ini (keputusan) ditunggu-tunggu oleh semua peringkat UMNO atasan dan akar umbi, keputusan ini bertepatan sekali kerana kita boleh tumpu kepada gerak kerja pilihan raya.

“Ini memperlihatkan juga kesepakatan di semua peringkat dari peringkat atasan hingga ke akar umbi, tujuan kita satu iaitu untuk menang dalam PRU-15.

“Kita amat bersyukur dengan keputusan ini dan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan pindaan pemilihan UMNO ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata, kelulusan RoS diberikan selepas menilai segala dokumen berkaitan pindaan itu lebih 60 hari yang berkuatkuasa semalam.

Menurutnya, RoS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih dari enam bulan selepas diadakan pilihan raya di peringkat Parlimen.

Sementara itu, mengulas mengenai Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis, Azhari menyifatkan sebagai satu kejutan susulan ia turut disokong majoriti ahli Parlimen pembangkang.

“Keputusan RUU ini memang baik, kita sokong bukan sahaja pihak kerajaan, bahkan pembangkang pun sokong juga, sebab lompat parti pun ada dari sebelah sana.

“Satu keputusan menjadi satu pengajaran dan undang-undang kepada mereka yang opotunis, tidak ikhlas dan tidak setia kepada menyokong jentera yang memenangkan dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette