PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Baling ditutup sepenuhnya hari ini.

BALING – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup sepenuhnya hari ini.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Dzulhaidy Mohd Khalil berkata, semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang ditutup jam 10 pagi tadi.

“Sebelum ini, 58 mangsa banjir daripada 19 keluarga yang terjejas dalam kejadian itu ditempatkan di dewan berkenaan.

Paras air Sungai Kupang kini berada di paras tidak bahaya selain Jambatan Bailey turut dibuka untuk kegunaan pengguna.

“Selain itu, Jambatan Bailey di Kampung Iboi yang ditutup juga telah dibuka semula kepada semua pengguna bermula semalam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, hujan lebat kira-kira jam 2 petang selama tiga jam pada Khamis lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang meningkat dan sekali gus limpahan berlaku di beberapa rumah penduduk terutama yang terletak di tebing sungai. – MalaysiaGazette