Orang ramai terpaksa beratur panjang untuk membayar saman polis ketika Road March sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Tahun 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Tawaran diskaun saman sehingga 50 peratus sempena program Road March  memperingati Hari Polis Ke-215 yang diadakan di Dataran Merdeka di sini menjadi tumpuan warga kota.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, ada yang sanggup datang seawal pukul 7 pagi walaupun kaunter pembayaran akan dibuka tiga jam kemudian.

Difahamkan, terdapat lapan kaunter yang dibuka sehingga pukul 6 petang dengan sebahagian daripadanya diberikan keutamaan kepada laluan warga emas.

Seorang penduduk Gombak, Zaid Sulaiman, 26, berkata, usahanya untuk membayar saman secara dalam talian menerusi aplikasi MyBayar Saman tidak berjaya sebelum ini dan tak mahu terlepas kali ini.

“Saya sudah cuba guna aplikasi tersebut berulang kali tapi tetap gagal untuk diakses walaupun sudah mengemas kini peranti yang baharu, jadi saya sanggup beratur awal pagi untuk dapatkan diskaun kali ini,” katanya.

Sementara itu, rata-rata yang ditemui MalaysiaGazette juga menyambut baik usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan kadar diskaun yang tinggi serta berharap tempoh masa dilanjutkan sehingga ke malam.

Aksi anggota polis yang membuat terjunan mengunakan payung terjun pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam program Road March di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 JULAI 2022.

Dalam pada itu, program hari ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan payung terjun oleh 69 Komando, pertunjukan unit berkuda dan demonstrasi unit anjing pengesan (K9).

Program ini akan dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pukul 3 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast