Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Anak Keluarga Malaysia melakukan gimik pelancaran sempena majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di hadapan Kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Keluarga Malaysia di negara ini digesa menyemarakkan semangat sempena sambutan Hari Kebangsaan bulan depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, setelah negara berjuang memerangi pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas maka tiba masanya untuk rakyat negara ini menikmati kembali kesejahteraan hidup seperti sebelum pandemik melanda dunia.

“Saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan mewarnai dan menghiasi setiap premis dengan Jalur Gemilang bagi mencerminkan rasa cintakan tanah air.

“Selain mengibar Jalur Gemilang, cara lain untuk membuktikan cinta kepada negara termasuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri, bekerjasama dan mengamalkan toleransi, mendukung segala inisiatif Kerajaan dan amalan menyebarkan berita yang benar dan sahih,” katanya dalam ucapan perasmian Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putra pagi ini.

Hadir sama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa dan barisan ahli Kabinet yang lain.

Bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, Ismail Sabri berkata, ia berketepatan dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Teguh Bersama merujuk kepada kekuatan dan kesepaduan kolektif oleh Keluarga Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran dengan semangat sebuah keluarga.

“Semangat Keluarga Malaysia Teguh Bersama ini harus disemarakkan dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat dalam usaha kita menyejahterakan kehidupan rakyat ketika mendepani cabaran ekonomi global,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, rakyat negara ini harus bijak menilai sesebuah berita di media sosial.

Ini kerana gejala menyebarkannya berita palsu atau tidak benar semakin berleluasa.

“Gejala menyebarkan berita palsu atau berita tidak benar terutamanya menerusi media sosial harus dikawal dan dibendung sebelum ia menjadi satu amalan yang boleh memporak- porandakan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Gunakanlah sosial media secara berhemah untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan ucapan- ucapan murni kepada rakan taulan, majikan dan keluarga sendiri,” katanya lagi.

Sebelum itu, Ismail Sabri bersama-sama 15,000 peserta program ‘Berjalan Teguh Bersama’ sejauh 2.7 kilometer dari Dataran Putrajaya ke Istana Kehakiman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast