Foto Instagram Syamer Kutty Abba.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah kebangsaan dan Johor Darul Takzim (JDT), Syamer Kutty Abba selamat menjalani pembedahan di Barcelona, Sepanyol dan kini bintang Harimau Selatan itu mula menjalani proses pemulihan.

Syamer dilaporkan mengalami kecederaan lutut yang agak serius sehingga menyebabkan JDT menghantar pemain itu ke Sepanyol untuk menjalani pembedahan dan rawatan.

Di Barcelona, Syamer dirawat oleh doktor pakar perubatan bola sepak iaitu Dr. Juan Manuel Boffa yang juga merupakan doktor konsultan kepada Manchester City.

Melalui perkongsian di Instagram Story, Syamer mengesahkan pembedahan tersebut berjaya dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.

“Alhamdulilah, semuanya berjalan lancar. Saya amat menghargai setiap ucapan dan sokongan daripada semua. Semoga ALLAH merahmati kalian,” tulis Syamer.

Syamer turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kelab JDT kerana menyediakan keperluan terbaik untuk rawatan kecederaan yang dialami.

“Sekarang tiba masanya untuk saya menjalani pemulihan dan bekerja keras untuk kembali lebih kuat dan menjadi pemain yang lebih baik!

Perkongsian daripada Syamer itu turut mendapat perhatian TMJ yang turut mengharapkan pemain itu kembali lebih kuat selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan tersebut.

“Come back stronger Syamer,” ujar TMJ ringkas.

Syamer bukan satu-satunya pemain yang pernah dihantar oleh JDT untuk menjalani rawatan di Barcelona di bawah pemerhatian Juan Manuel.

Gary Steven Robbat, Syafiq Ahmad, Natxo Insa, Ramadhan Saifullah dan S.Kunanlan adalah antara pemain lain yang turut pernah medapatkan rawatan yang sama.

Syafiq, Natxo, Ramadhan, dan S. Kunanlan kini masih merupakan tunjang utama JDT, dan Gary pula kini merupakan antara tunjang utama kecemerlangan Sabah FC pada musim ini. – MalaysiaGazette