Seramai 31 PATI Myanmar tidak berdokumen bersembunyi di ladang getah untuk ceroboh masuk pagar sempadan negara di Thailand berjaya diberkas anggota ATM dalam Op Benteng semalamdi Bukit Kayu Hitam.Ihsan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia

KUALA LUMPUR – Seramai 31 pendatang asing tanpa izin yang bersembunyi dalam semak di sebuah ladang getah untuk menceroboh memasuki negara secara haram di sempadan Malaysia-Thailand ditahan pihak berkuasa, semalam.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), Tim Ronda yang sedang melaksanakan tugas rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan pergerakan sekumpulan orang awam disyaki PATI memasuki negara melalui pagar sempadan pada jam 9.30 malam.

“Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua 31 orang awam tersebut yang sedang bersembunyi di kawasan semak dalam kebun getah berhampiran sempadan,” katanya.

Seramai 31 PATI Myanmar tidak berdokumen bersembunyi di ladang getah untuk ceroboh masuk pagar sempadan negara di Thailand berjaya diberkas anggota ATM dalam Op Benteng semalamdi Bukit Kayu Hitam.Ihsan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan disyaki cuba memasuki negara ini secara haram.

Menurut kenyataan itu, siasatan lanjut mendapati kesemua PATI yang ditahan berumur di antara 18 hingga 44 tahun terdiri daripada 21 lelaki dan 10 perempuan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap mereka pasukan turut berjaya merampas tiga buah telefon bimbit, wang tunai dalam matawang Malaysia dan Thailand bernilai RM967.30 serta 31 beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM2,467.30.

“Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang yang ditetapkan.

“Pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan PATI dan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” ujarnya. – MalaysiaGazette