Foto: Netizen

PUTRAJAYA – Serpihan roket Long March 5B milik China memasuki ruang udara Malaysia.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, serpihan roket berkenaan terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan dikesan melintasi ruang udara sekitar negeri Sarawak.

“Sisa serpihan yang terbakar itu telah direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara Latitud 9.1 darjah Utara dan Longitud 119.0 darjah timur,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti), pihaknya meramalkan kemasukan semula serpihan roket China itu ke ruang udara bumi pada jam 4.20 petang 30 Julai 2022 hingga 12.24 pagi 1 Ogos 2022.

Kedudukan roket berkenaan diramalkan berada pada ketinggian 201.15 kilometer daripada paras laut dan okasi kemasukan semula antara latitud 39.1 darjah dan longitud 148.9 darjah.

Roket Long March 5B dilancarkan China dari Wenchang Spacecraft Launch Site pada 24 Julai lalu untuk menghantar modul Wentian dengan berat 23,000 kilogram ke Stesen Angkasa Tiangong.

Peringkat Teras roket Long March 5B telah memasuki orbit Rendah Bumi pada ketinggian 298 kilometer untuk mengorbit bumi bagi melepaskan modul Wentian ke Stesen Angkasa Tiangong.

Disebabkan seretan atmosfera yang kuat pada orbit, serpihan roket berkenaan dijangka memasuki atmosfera bumi dalam beberapa hari selepas penghantaran tersebut.

Bagaimanapun, secara dasarnya lokasi kemasukan semula sebenar serpihan loket berkenaan tidak dapat diramal dengan tepat sehingga ia menghampiri bumi beberapa jam sebelum kemasukan semula berlaku. – MalaysiaGazette