dethroned Tajuddin Abdul Rahman UMNO Supreme Council member sacked Mohamad Hasan GE15
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) membidas kerajaan kerana membiarkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak berkemampuan untuk menjaga kebajikan bekas-bekas tentera.

Menurut beliau, tabung lembaga terbabit sebanyak RM10 bilion sekarang mampu untuk melonjak sehingga RM100 bilion sekiranya bangsa lain yang memegang tampuk pentadbirannya.

“Bagi kepada Ah Lai, Lim Kit Malam bukan Lim Kit Siang, RM10 bilion mereka boleh jana RM100 bilion. Tapi kita RM10 bilion masih kekal RM10 bilion, dengan jumlah ini LTAT boleh buat apa sahaja untuk membantu bekas-bekas tentera.

“Wujudkan peluang keusahawanan, perusahaan, buat ladang ayam, bela lembu, ikan tapi tak boleh buat. Ini mudah, saya rasa LTAT kena rombak sikit minda, budaya dan sikap.

“Mereka duduk situ makan gaji sahaja, mesti ada semangat perjuangan, sebab saya masih di sini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 hari ini.

Bacaan kali kedua itu rata-ratanya bagi membolehkan tabung persaraan itu yang diuruskan LTAT dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

LTAT dipengerusikan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affan Raja Mohamed Noor; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz (Timbalan Pengerusi) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

LTAT turut dianggotai tiga ahli politik iaitu Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah, Datuk Razlan Muhammad Rafii dan Datuk Seri Razali Ibrahim sebagai ahli bebas.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, LTAT ditubuhkan bertujuan untuk menjaga kepentingan bekas-bekas tentera bukan setakat menghasilkan dividen yang boleh diagihkan.

“Yang penting adalah menjaga kebajikan tentera bagi mereka yang telah bersara. Tak berasa bersalah ke pengurusan LTAT, Kementerian Pertahanan tidak melihat ke kerana bertukar menteri tapi pi mai, pi mai tang tu jugak,” katanya lagi.

Pidaan itu antaranya memberikan fleksibiliti supaya pencarum tentera boleh memilih untuk meningkatkan kadar caruman syer pekerja/individu lebih daripada 10 peratus.

Malah pindaan itu juga bagi membenarkan pencarum memilih untuk terus menabung dengan LTAT walaupun sudah tamat perkhidmatan.

Minggu lalu, LTAT dipalit kontroversi apabila pengurusannya bersetuju untuk memulakan perbincangan susulan piket oleh Kesatuan Kakitangan LTAT mendesak agar tunggakan pelarasan gaji mereka dibayar.

Dalam satu kenyataan, LTAT berkata, pihaknya akan memulakan perbincangan bersama wakil daripada KKLTAT, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia. – MalaysiaGazette