Bekas Ketua Pegawai Sustainable Energy Authority Malaysia, Ali Askar Sher Mohamed hadir di mahkamah bagi pertuduhan kes rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai kanan badan berkanun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima suapan sebanyak RM70,000 tujuh tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ali Askar Sher Mohamed ketika menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada 11 Disember 2015 telah menerima wang tunai berkenaan daripada Pengarah Green & Smart Sdn Bhd, Navindran A/L Balakrishnan yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hakim, Azura Alwi kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000.

Dalam masa sama, hakim menetapkan 28 September ini bagi sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, 65, memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah supaya tertuduh melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun peguambela tertuduh, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu memaklumkan pergerakan Ali Askar terhad kerana warga emas itu tidak kuat untuk berjalan.

Baljit berkata, anak guamnya itu perlu mendapatkan rawatan pakar psikiatri di sebuah hospital swasta di ibu kota secara berkala kerana masalah demensia yang dihadapinya.

Sehubungan itu, hakim mengarahkan peguam bela menyerahkan rekod perubatan rasmi tertuduh daripada hospital kerajaan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk memerintahkannya melaporkan diri ke pejabat SPRM atau sebaliknya.

“Berikutan itu, serahkan dahulu laporan perubatan, baru saya akan buat keputusan berkenaan permohonan ini,” ujarnyanya.

Sementara itu, Muhammad Asraf memaklumkan mahkamah bahawa Ali Askar akan berhadapan dengan enam pertuduhan di Mahkamah Shah Alam pada esok. – MalaysiaGazette