MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ada menyebutkan di dalam bukunya bertajuk “Memacu Transformasi” tentang usaha mengangkat peranan belia ke tempat yang lebih tinggi. Usaha ini beliau namakan sebagai penghakupayaan. Penghakupayaan menurut beliau adalah proses penyaluran idealisme, intelektualisme dan aktivisme yang dimiliki oleh belia ke ruang yang sewajarnya.
Maka, apa-apa saluran yang membolehkan intisari belia – idealisme, intelektualisme dan aktivisme – terus diangkat dan mengesankan masyarakat, itulah kerja penghakupayaan. Salah satu saluran yang sangat penting buat belia adalah saluran secara struktur, sistem dan undang-undang.
Ia ada pada penglibatan belia dalam ruang perbincangan untuk membuat keputusan terhadap apa-apa polisi yang memberi kesan langsung terhadap masyarakat. Saluran sistem ini tidak sama dengan saluran budaya yang ada pada program-program
kesedaran, wacana atau forum perdana serta aktiviti kesukarelawanan.
Pada saluran ini, ada beban kuasa yang perlu diuruskan secara bertanggungjawab kerana apa-apa keputusan yang dibuat, akan memberi kesan secara sistemik. Kehadiran belia secara langsung dalam saluran ini menjadi satu titik penting bagi memastikan apa-apa keputusan akan memihak kepada kepentingan belia – generasi masa depan negara.
Belia sebagai Senator
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan di Tuaran, Sabah baru-baru ini telah mengumumkan bahawa wakil belia akan dilantik sebagai ‘Senator’ di Dewan Negara. Pengumuman ini pada satu sudut sangat penting kerana ia memberikan gambaran kepada kita bahawa Perdana Menteri mempunyai kesedaran dan mengakui kepentingan serta keperluan belia untuk terlibat secara langsung dalam perbincangan di Dewan Negara.
Tetapi sebelum kita cepat bertepuk tangan dan bergembira, terdapat satu lagi sudut yang perlu kita berikan perhatian. Kita harus sedar bahawa pengumuman ini bukanlah pertama kali diucapkan dari mulut Perdana Menteri Malaysia. Untuk rekod, pada 15 Mei 2019, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ke-7, telah mengumumkan lantikan belia sebagai Senator dalam Dewan Negara.
Hal ini diumumkan ketika beliau merasmikan Hari Belia Negara 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kata beliau, “Kita akan pastikan suara anak muda akan sentiasa diberi perhatian dan diambil kira dalam setiap proses keputusan Kerajaan di semua peringkat – daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa”. Setahun kemudian, Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hal yang sama ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.
Menurut beliau, “lantikan ini untuk menentukan anak muda sampai ke peringkat tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen” Namun, sehingga kini masih belum ada secara rasmi lantikan Senator wakili belia di dalam Dewan Negara. Tahun ini, sekali lagi kita mendengar pengumuman yang sama.
Segerakan dan sistemkan
Soalnya adalah, apakah yang akan membezakan antara pengumuman dua Perdana Menteri sebelum ini dengan pengumuman daripada Perdana Menteri ke-9 ini? Saya melihat ianya ada pada kesungguhan dan kesegeraan untuk merealisasikan pengumuman berkenaan. Tidak perlu bertangguh dan mengambil masa yang lebih lama lagi kerana kesedaran tentang kepentingan belia terlibat dalam ruang ini sudah ada dan diyakini.
Lantikan ini adalah langkah pertama. Selepas ini ia perlu disistemkan agar kedudukan wakil belia sebagai Senator akan terus ada meskipun kerajaan berubah pada masa akan datang.
Oleh: Usaid Asmadi
Ahli Jawatankuasa Tetap Pendidikan
Majlis Belia Malaysia (MBM)