SHAH ALAM – Jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat disemadikan dalam satu istiadat di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5, di sini, kira-kira jam 3 petang.
Jenazah yang tiba di makam itu menggunakan van Masjid Istana Sultan Selangor kira-kira jam 2 petang kemudiannya diletakkan di atas pedati khas berwarna putih sebelum diusung ke tanah perkuburan.
Seramai 10 penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mengenakan pakaian seragam dan bersongkok membawa pengusung jenazah dengan diiringi beberapa imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum istiadat pengebumian dimulakan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang diiringi adinda Baginda, Tengku Sulaiman Shah berkenan hadir ke majlis pengkebumian Allahyarham Abdul Khalid.
Terdahulu, Allahyarham Abdul Khalid disolatkan kira-kira 500 jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat Zohor yang diiimamkan oleh Imam Besar, Muhammad Farhan Wijaya, pada jam 1.45 petang.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari serta beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Ahli Parlimen Selangor.
Awal pagi tadi, jenazah Menteri Besar ke-14 Selangor itu tiba di Masjid Saidina Umar Al Khattab di Bukit Damansara, Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 pagi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
Abdul Khalid meninggal dunia pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
Menurut hantaran terbaru di Facebook rasminya, Allahyarham Abdul Khalid, 76, telah dimasukkan ke hospital sejak 23 April lepas akibat jangkitan pada injap jantung. – MalaysiaGazette