Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Pembangkang dilihat masih belum selesai mengenai tindakan Dewan Rakyat yang menggantung Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) minggu lalu.

Ketika perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat berakhir oleh Dr Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu), Teo Nie Ching (PH-Kulai) membawa kembali isu berkenaan ketika sesi dewan dipengerusikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

“Kalau rujuk kepada kenyataan beliau (Rashid), sepatutnya Pasir Salak diarahkan keluar dari dewan selama dua hari termasuk pada hari kejadian.

“Tetapi saya rujuk kepada hansard (penyata rasmi) dewan pada 20 Julai menunjukkan bahawa Pasir Salak selepas kejadian itu masih masuk dalam Dewan Rakyat,” kata bekas timbalan menteri itu di Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan hansard Dewan Rakyat pada 20 Julai lalu, Nie Ching berkata, Tajuddin dilihat hadir dan pernah menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dibawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari itu.

“Kenyataan beliau direkodkan pada muka surat 149 hingga 153, sehingga undian terhadap RUU SOSMA, beliau juga ahli ke 90 yang menyokong usul tersebut.

“Hari yang saya kata Pasir Salak menggunakan perkataan lucah dalam Dewan Rakyat, ikut keputusan yang dibuat timbalan speaker, beliau tidak boleh masuk dewan pada 20 Julai tapi hansard selepas insiden itu beliau masuk balik dan mengambil bahagian dalam undian SOSMA.

“Saya nak katakan bahawa timbalan speaker telah mengelirukan dewan saya nak minta satu keputusan daripada speaker apa tindakan terhadap timbalan speaker yang mengelirukan dewan,” katanya di Dewan Rakyat.

Nie Ching merujuk kepada keputusan yang telah diberikan  Rashid  yang berkata telah mengarahkan Tajuddin untuk tidak hadir ke sidang dewan selama dua hari pada 26 Julai lalu.

Minggu lalu, Rashid memberitahu semua ahli Parlimen bahawa beliau telah melarang Tajuddin untuk tidak menghadiri Dewan Rakyat selama dua hari bermula 20 Julai lalu.

Mendengar kenyataan itu, Azhar Azizan berkata, beliau akan merujuk kepada hansard Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu untuk sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Saya kena rujuk dahulu kepada hansard dan apa arahan timbalan speaker itu sebenarnya. Bagi saya baca betul-betul,” jawab Azhar Azizan kepada Nie Ching.

Rashid pada 26 Julai lalu  menjelaskan perkataan ‘P’ seperti yang didakwa diperkatakan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak ada di dalam hansard Parlimen.

Rashid berkata, pihaknya mencari perkataan yang diperkatakan itu tetapi tidak ada dan turut merujuk isu itu kepada penasihat undang-undang.

Katanya, disebabkan itu pihaknya telah memerintahkan Tajuddin agar tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari.

“Keputusan saya ialah Pasir Salak automatik dapat dua hari termasuk hari kejadian,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa minggu lalu. – MalaysiaGazette