BUTTERWORTH – Pengarah Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan (WP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas 11 pertuduhan salah guna dana yayasan berkenaan berjumlah RM86,000 pada tahun lalu.

Tertuduh, M. Govindarajoo, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Govindarajoo didakwa secara curang telah menyalahgunakan harta iaitu kepunyaan Yayasan Kemajuan India WP membabitkan 11 transaksi dengan jumlah keseluruhan melibatkan RM86,000.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Berhad, Taman Inderawasih, Jalan Chain Ferry dalam daerah Seberang Perai Tengah pada 25 dan 26 Ogos 2021.

Govindarajoo (kiri) mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan salah guna dana Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun, sebatan serta denda.

Selain itu, tertuduh juga didakwa atas 11 pertuduhan pilihan atas kesalahan, jumlah, tarikh kejadian serta lokasi yang sama mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhananjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Afif Ali menawarkan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan namun, tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas faktor umur serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selain itu, Govindarajoo turut mendakwa tidak mampu membayar jaminan RM50,000 kerana dua anaknya sedang melanjutkan pelajaran di universiti selain dia memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan SPRM.

Zulhazmi kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM22,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan di mana pasport lelaki terbabit diserahkan kepada mahkamah serta lapor diri di pejabat SPRM terdekat dengan kediaman setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula kes.

Media tempatan pada 26 Oktober 2021 melaporkan seramai 16 orang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan geran peruntukan yang dikeluarkan MITRA, agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Kesemuanya berusia antara 24 hingga 68 tahun ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang. – MalaysiaGazette