Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kadar jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor menunjukkan trend meningkat dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, peningkatan itu berlaku di semua daerah dari Minggu Epid (ME) 1 hingga ME 27/2022.

Katanya, trend peningkatkan itu dikesan seawal ME ketujuh dan dilihat semakin ketara selepas ME ke-13 di semua daerah.

Pecahan peningkatan mengikut daerah ialah Gombak sebanyak 4,726 kes, Ulu Langat (5,586 kes), Hulu Selangor (2,000 kes), Klang (2,432 kes), Kuala Langat (2,970 kes), Kuala Selangor (2,487 kes), Petaling (10,493 kes), Sabak Bernam (1,155 kes) dan Sepang (1,379 kes).

“Keseluruhan ada peningkatan 33,250 kes kalau dibandingkan pada 2021 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak 644 kes.

“Bagaimanapun, tahun ini khususnya pada ME ketujuh hingga ME ke-13, jumlah keseluruhannya adalah 33,864 kes. Peningkatannya sangat tinggi dan bergejala,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa termasuk bersama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memberikan apa sahaja arahan supaya dapat mengelak penyakit itu merebak.

Khususnya, kata Amirudin, pada musim persekolahan yang telah dibuka sekarang ini. – MalaysiaGazette