Seorang pemilik rumah di Bukit Setongkol, Kuantan diberi notis oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk mengosongkan timbunan barangan lusuh di perkarangan rumahnya di bawah Sesyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

KUANTAN – Perkarangan sebuah rumah mewah dijadikan kawasan longgokan barangan lusuh di Bukit Setongkol di sini dan menyebabkan ia berisiko untuk pembiakan nyamuk aedes.

Sikap tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengundang kehadiran dan pembiakan tikus dan nyamuk bahkan ianya turut mendedahkan perumahan kepada risiko kebakaran.

Menerusi kenyataan hari ini, pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah memberikan notis di bawah Sesyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi mengosongkan kawasan rumah daripada longgokan barang-barang lusuh (penghapusan kacau ganggu) dalam tempoh tujuh hari.

Jelasnya,  pemilik rumah bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal berbuat demikian.

Bagi kesalahan tersebut, pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Rata-rata pengguna media sosial memberikan reaksi positif kepada tindakan dan rondaan yang dilakukan oleh pihak MBK bagi memastikan orang ramai bertanggungjawab menjaga persekitaran rumah dan suasana kejiranan.

Ini berikutan sikap segelintir masyarakat yang memandang enteng penjagaan kebersihan dan sikap lepas tangan dalam usaha menjaga alam sekitar. – MalaysiaGazettte